Ada kalanya seseorang memiliki pasangan hidup berparas menarik tetapi cakapnya pedas lagi menyinggung.
Ada pasangannya rupawan, bahasanya sedap didengar tetapi sangat boros.
Ada pula pasangannya pandai dan jimat tetapi malas beribadah.
Kerencaman dalam mencari jodoh ini pernah diibaratkan dalam satu
hadis: ‘Manusia itu seperti unta. Antara 100 ekor unta, sangat sulit
kamu menemukan seekor yang sangat baik tunggangannya.’ (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim).
Pasangan ideal memang sukar diperolehi dalam zaman penuh dugaan.
Ada gadis yang mengeluh kerana sudah penat mencari calon suami yang
berkelayakan, gagah dan hensem, tenang dan lembut serta kuat beribadah.
Ada teruna mengeluh sukar mencari calon isteri yang cantik rupawan,
senang dipandang, sabar, jimat, suka beribadah dan pandai mengambil hati
ibunya.
Sepatutnya kita kena ingat satu pesanan :
‘Hendaknya seorang Mukmin tidak meninggalkan seorang Mukminah. Kalau
dia membenci suatu perangai pada diri isterinya, dia pasti menyenangi
perangai yang lain.’
Sejajar dengan firman Allah: ‘Kemudian
apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin
kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan
yang banyak.’ (An-Nisaa: 19)
Sebagai pasangan (baik suami mahupun
isteri), janganlah kita membiarkan begitu saja beberapa aib atau
kekurangan pasangan kita. Alasan bahawa sikap sudah begitu sejak mula –
tidak boleh dipakai sama sekali.
Sikap manusia boleh diubah selagi ia sanggup merubahnya.
Suami hendaklah berdakwah kepada isteri dan begitu juga sebaliknya.
‘Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran
yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya
Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari
jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat
petunjuk.’ (Surah An-Nahl: 125).
Dakwah paling asas adalah dengan pasangan kita sebagaimana Rasulullah
saw menyampaikan kisah baginda menerima wahyu kepada isterinya,
Khadijah. Ia diikuti dengan anak-anak dan orang-orang terdekat.
Oleh itu, suami/isteri perlu menggilap
cara merubah sikap pasangan dengan cara paling elok menunjukkan contoh
dan hujah. Kekasaran atau pukul bantai tidak boleh dibuat untuk memaksa
seseorang berubah.
Tips : Suami isteri perlu saling nasihat menasihati. Keikhlasan
sangat penting. Ikhlas menasihati, dan ikhlas pula terima nasihat.
Ketika kita dinasihati, hendaknya kita kendalikan serta lunakkan hati
kita untuk ikhlas menerimanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan